Berbuat Baiklah Kepada Kedua Orang Tua






Abdullah bin 'Amru Radhiallahu 'anhuma berkata;

"Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti)".
(HR Bukhari No: 2782), Status: Hadis Sahih

PENGAJARAN:

1) Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan, terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

2) Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad.

3) Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup.

4) Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia.

Hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas RA,

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata:

Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha' puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: "Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan".
(HR Bukhari No: 1953)